SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI PRA SEKOLAH, SEKOLAH KEBANGSAAN BOLOK, 28500 LANCHANG, PAHANG TEL : 092804127 FAX : 092804127

Matlamat dan Konsep

Matlamat dan Konsep Prasekolah



Pendidikan prasekolah bertujuan menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan untuk masuk ke sekolah rendah. Pendidikan prasekolah adalah satu program yang menyediakan pengalaman pembelajaran kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun dalam jangka masa satu tahun atau lebih sebelum masuk ke Tahun Satu di sekolah formal. Konsep yang digunakan ialah “Belajar Sambil Bermain” dengan menekankan “Pembelajaran Bertema”. Kaedah pembelajaran ialah meliputi aktiviti kelas, aktiviti kumpulan dan aktiviti individu.


Keunikan prasekolah yang dianjurkan Kementerian Pelajaran Malaysia ialah aktiviti kumpulan yang berupaya meningkatkan kualiti kawalan emosi dan intelektual. Pendedahan terhadap aktiviti ini adalah bagi menyediakan asas yang kukuh bagi pembelajaran berkonsepkan sekolah bestari ( Kementerian Pelajaran Malaysia, 2003 ). 


Pra sekolah merupakan pilihan pendidikan bagi kanak-kanak sebelum memasuki sekolah. Pra sekolah merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan MalaysiaKementerian Pelajaran Malaysiamenyediakan pendidikan prasekolah bagi membolehkan kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun memasuki persekolahan lebih awal, terutamanya kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah.

Pada 18 Disember 1991, Mesyuarat Jemaah Menteri mengarahkan Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program pra sekolah. Manakala  pada 27 Januari 1992, Mesyuarat antara Kementerian telah bersetuju menubuhkan Projek Rintis Pendidikan Pra sekolah KPM yang merangkumi 1,131 kelas di seluruh Negara ( Kementerian Pelajaran Malaysia, 2003 ).



Apakah Itu Pendidikan Prasekolah



Pendidikan Prasekolah berfokus kepada usaha untuk menyediakan peluang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Fokus utama adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kanak-kanak, penekanan kepada konsep inkuiri penemuan, penggunaan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bersepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran berasaskan projek.

Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan pula, digubal dengan memberikan penekanan kepada standard kandungan dan standard pembelajaran yang patut diketahui dan boleh dilakukan oleh kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Standard kandungan dan standard pembelajaran berpaksikan pengetahuan, kemahiran asas serta nilai dalam enam Tunjang Pembelajaran berikut:


1. Komunikasi;

2. Kerohanian, Sikap dan Nilai;

3. Kemanusiaan;

4. Sains dan Teknologi;

5. Perkembangan Fizikal dan Estetika;

6. Perkembangan Ketrampilan Diri.

No comments:

Post a Comment